Gelaran saintis itu bukanlah hak milik
ekslusif untuk para graduan yang berlatarbelakangkan bidang sains dan
kejuruteraan sahaja. Malah, saya kira, lebih tepat sekiranya ia diberikan
kepada seseorang yang mempunyai daya ingin tahu yang tinggi untuk merungkai
sesuatu misteri dan memperolehi kebolehan untuk menyelesaikannya secara kreatif
dengan menggunakan kaedah saintifik. Malim Ghozali PK, merupakan nama yang
tidak asing di dalam bidang sastera tanahair sebagai penulis di dalam semua
genre, novel, cerpen, puisi dan esei. Namun, dunia sastera tanah air telah
dikejutkan apabila beliau telah mencatat sejarah dan menerbitkan sebuah buku
berjudul ‘Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan’ dan versi Bahasa Inggerisnya
yang berjudul ‘The Profound Truth: Understanding Perfection’ pada tahun 2006,
hasil penyelidikan beliau mengenai Al-Qur’an secara saintifik, khususnya
mengenai sains yang terkandung di dalam Al-Quran yang telah mengambil masa
selama lebih dari 10 tahun. Karya beliau di dalam kajian sains Al-Qur’an
tersebut telah mendapat perhatian antarabangsa dan ia telah dicetak di dalam
pelbagai bahasa seperti bahasa Cina, Rusia dan Arab serta telah dipasarkan ke
seluruh dunia. Karya beliau tersebut cuba mengukapkan kebenaran Al-Qur’an
secara sains dengan menggunakan fenomena-fenomena alam semesta, dari perspektif
Al-Qur’an. Sumbangan dan usaha beliau terhadap kajian sains Al-Quran atau the
‘Quranic Sciences’ ini merupakan sumbangan yang amat bernilai kepada negara
ini, kepada sains dan kepada Islam, secara khususnya. Kajian sains tersebut
membicarakan topik-topik seperti ‘Ambilkira yang ghaib’ atau ‘Count of the
Unseen’ yang membincangkan konsep jirim dan anti-jirim atau lebih terkenal
dalam konteks bahasa Inggerisnya sebagai ‘matter and antimatter’, Al-Qur’an:
Nisbah Emas (Golden Ratio) dan Formula Transformasi Ghoz Gt, ‘Bulatan dan
Misteri Pi’, ‘Titik paling padat: Dinamo Kehidupan’, membincangkan system suria
berlandaskan Al-Qur’an dan hadith dan pelbagai lagi. Penemuan-penemuan dan
perbincangan beliau mengenai Al-Qur’an dan sains ataupun lebih tepat lagi,
mengenai sains dalam Al-Qur’an ini berjaya memberikan sebentuk pencerahan yang
unik bagi saya yang selama ini, telah mempelajari bidang sains hanya melalui
buku teks yang boleh dikatakan sebagai pemahaman yang bersifat ‘mainstream’.
Secara peribadi, beliau merupakan seseorang yang berwawasan jauh dan amat giat
berkarya. Lebih mesra dengan panggilan Pak Malim, beliau telah memenangi
pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Hadiah Sastera
Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera Kumpulan
Utusan-Public Bank, Hadiah Sayembara ESSO-GAPENA V, S.E.A Write Award 2013 dan
pelbagai lagi. Pak Malim bukanlah calang-calang sasterawan, lebih-lebih lagi
apabila beliau telah dicalonkan untuk ‘International Dublin Literary Award
2016’ menerusi novel terbaru beliau berjudul ‘Luka Nering’ ataupun ‘Tree of
Sorrow’, sekaligus dibandingkan oleh dunia sastera dengan penulis tersohor
dunia seperti Paulo Coelho dan Haruki Murakami. Beliau juga pernah tercalon
untuk memenangi Anugerah Nobel dalam bidang sastera pada tahun 2016. Antara
karya lain beliau adalah novel berjudul ‘Daun’, ‘Janji Paramaribo’, Redang’,
himpunan puisi berjudul ‘Gemaruang’, ‘Fantasi Malam’, ‘Songs of September’,
kumpulan cerpen berjudul ‘Usia’, ‘Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir!’ dan
pelbagai lagi. Akhir kata, Malim Ghozali PK ataupun nama sebenar Mohamed
Ghozali Bin Haji Abdul Rashid yang berasal dari Malim Nawar, Perak ini bukan
sahaja seorang saintis malah merupakan seorang penulis, seorang pensyarah,
seorang pengembara, seorang penggiat seni dan paling utama sekali adalah,
beliau merupakan ayah saya.